Kuala Lumpur: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedang menjalankan siasatan menyeluruh berhubung dakwaan kaedah penyembelihan ayam yang meragukan di sebuah premis berhampiran Pasar Pudu, di sini, selepas rakaman video mengenainya tular di media sosial.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee, dalam kenyataan ringkas hari ini memaklumkan siasatan itu turut membabitkan pihak berkuasa tempatan.

"Siasatan menyeluruh sedang dijalankan bersama pihak berkuasa tempatan berkaitan syarikat bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) terkait isu ayam yang sedang tular," katanya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin, menggesa JAKIM segera menyiasat kaedah penyembelihan, status halal serta ke mana ayam yang diproses di premis berkenaan dibekalkan dan dijual.