Sepang: Seorang bapa tidak menyangka anak perempuan kesayangannya yang dihantar ke sekolah seperti biasa, semalam, pergi buat selama-lamanya selepas dipercayai mengalami sesak nafas akibat saluran pernafasan tersumbat.

Bapa mangsa, Meor Shahriza Meor Zakaria, 48, berkata beliau bergegas ke sekolah selepas dimaklumkan anaknya mengalami masalah pernafasan.

Beliau berkata, sebaik tiba di sekolah, anaknya ditemui terbaring di koridor tingkat dua dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Katanya, beliau cuba memberikan bantuan termasuk melakukan resusitasi kardiopulmonari (CPR), namun anaknya tidak memberikan sebarang tindak balas.