SUBANG: Pemergian insan paling berjasa dalam perjalanan seninya pernah membuatkan Ratu Rock, Ella, terdetik untuk meninggalkan dunia nyanyian, sekali gus menjadi antara detik paling sukar dalam kehidupannya.
Ella atau nama sebenarnya, Nor Zila Aminuddin, 60, berkata, kehilangan bapanya sekitar 1990-an memberi kesan mendalam kerana Allahyarham bukan sahaja insan tersayang, malah menjadi tulang belakang yang banyak menyokong perjalanan seninya ketika itu.
" Ada satu ketika, masa bapa meninggal dunia, saya rasa macam tak nak lagi teruskan menyanyi," katanya ketika ditemui pada majlis makan malam bagi meraikan kejayaannya menerima Anugerah Wirama pada Anugerah Industri Muzik (AIM), di sini, malam tadi.










