Subang Jaya: Di sebalik keutuhan kerjaya seni selama empat dekad, Ella Aminuddin mengakui pernah berhasrat mengundur diri daripada menyanyi apabila bapanya, Allahyarham Aminuddin Manap meninggal dunia pada 1990-an.
Pemilik nama sebenar, Nor Zila Aminuddin, 60, yang mendapat jolokan 'Ratu Rock' ini, pemergian bapanya pada usia 62 tahun memberi kesan mendalam kerana memikirkan sudah tiada individu menjadi penyokong utama dalam kariernya.
"Ya, betul. Saya pernah berhasrat tidak mahu menyanyi lagi selepas arwah bapa meninggal dunia. Ketika itu, saya sangat sedih dan berasa kehilangan sebab bapa adalah individu amat penting yang sentiasa menyokong kerjaya nyanyian saya.
"Bagaimanapun, Jojie (kakak) dapat memujuk saya dan banyak beri kata-kata semangat termasuk semua anggota keluarga yang membuat saya teruskan karier nyanyian ini sampai sekarang. Alhamdulillah, syukur kepada Allah.








