BANGI: Kerajaan akan memberi penjelasan dalam sidang Dewan Rakyat berhubung cadangan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, supaya syarat simpanan minimum RM15,000 bagi bakal jemaah haji dimansuhkan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan, berkata perkara itu akan dijelaskan ketika sesi penggulungan di Dewan Rakyat tidak lama lagi.
"Kita akan jawab (mengenai cadangan itu) dalam sesi penggulungan," katanya selepas merasmikan Seminar Penerbitan Islam 2026 dan Pelancaran Majlis Penerbitan Buku Agama (MAPBA) di Dewan Datuk Mohd Shahir, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), di sini, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man meminta kerajaan membatalkan syarat simpanan minimum RM15,000 kepada jemaah haji sebelum dibenarkan menunaikan ibadah itu.










