KUALA LUMPUR – Laporan awal siasatan nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) yang mengorbankan lima nyawa termasuk empat petugas kesihatan di Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak pada 8 September lalu dijangka dibentangkan kepada Jemaah Menteri esok.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, siasatan awal Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) mendapati juruterbang helikopter BO105 milik Layang-Layang Aerospace Sdn Bhd itu mempunyai lesen penerbangan dan sijil perubatan yang sah.
Beliau berkata, helikopter bernombor pendaftaran 9M-LLF yang beroperasi di bawah kontrak Kementerian Kesihatan (KKM) itu turut memiliki perakuan pendaftaran dan perakuan kelayakan terbang yang sah selain disahkan layak terbang ketika berlepas.









