JOHOR BAHRU: Kebakaran tapak pelupusan sampah di Jalan Muhibbah, Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang di sini yang telah berlarutan lebih 15 jam memburukkan lagi keadaan jerebu di kawasan berkenaan.

Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Pasir Gudang setakat jam 12 tengah hari tadi mencatatkan bacaan 182 iaitu tidak sihat.

Tinjauan di lokasi kejadian jam 12 tengah hari ini mendapati usaha memadam asap tebal daripada bongkah boya yang diperbuat daripada gentian kaca masih giat dijalankan bomba.

Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) negeri, Penguasa Kanan Bomba 1, Azahar Dris, berkata pihaknya berdepan cabaran bagi memadamkan kebakaran berkenaan kerana ketiadaan sumber air berhampiran.