PUTRAJAYA: Industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta e-dagang Malaysia menyumbang sebanyak RM476.8 bilion atau 23.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada 2025, menurut statistik Akaun Satelit ICT Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Siti Asiah Ahmad, berkata industri ICT dan e-dagang yang dikenali sebagai ekonomi ICT, berkembang sebanyak 5.6 peratus pada 2025 berbanding 5.2 peratus pada tahun sebelumnya.

"Prestasi keseluruhan mencerminkan pertumbuhan berterusan dalam aktiviti ekonomi berkaitan ICT di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Siti Asiah berkata, industri ICT menjana nilai ditambah kasar sebanyak RM288.1 bilion pada 2025, dengan perkhidmatan ICT mencatatkan sumbangan terbesar iaitu 40.3 peratus, diikuti oleh pembuatan ICT sebanyak 38.2 peratus.