PETALING JAYA: Penderitaan kanak-kanak berusia dua tahun yang menghidap penyakit buah pinggang kronik (CKD) tahap akhir serta komplikasi organ dalaman sejak lahir, Nur Faridah Aafiyah Muhammad Zamirul mendapat perhatian apabila menerima bantuan segera sebanyak RM5,000 daripada Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP.

Bantuan hasil sumbangan orang ramai berkenaan disampaikan oleh Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Media Prima Berhad (MPB), Mohamad Farris Effendy Md Salim, ketika mengunjungi kediaman keluarga itu di Desa Mentari, di sini, hari ini.

Mohamad Farris Effendy berkata, kunjungan itu adalah sebahagian daripada komitmen berterusan MPB dan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) dalam menyantuni komuniti yang diuji dengan cabaran kesihatan dan kekangan kewangan.