PUTRAJAYA – Malaysia pada Rabu menyerahkan bantuan kemanusiaan berjumlah AS$1 juta kepada Nepal bagi menyokong usaha pemulihan dan pembangunan semula susulan banjir yang melanda negara itu pada 26 Ogos lalu.

Kementerian Luar, yang juga dikenali sebagai Wisma Putra memaklumkan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menyerahkan cek sumbangan bernilai AS$1 juta kepada Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Nepal di Kuala Lumpur, Mudita Bajracharya dalam satu majlis di sini.

Menurut kementerian itu, sumbangan berkenaan mencerminkan sokongan Malaysia kepada kerajaan dan rakyat Nepal dalam menghadapi tempoh sukar susulan bencana berkenaan.

“Menteri Luar turut menyampaikan rasa simpati yang mendalam dan ucapan takziah Malaysia kepada kerajaan dan rakyat Nepal, khususnya kepada keluarga yang kehilangan insan tersayang serta semua yang terjejas akibat bencana itu,” menurut kenyataan Wisma Putra.