​MELAKA: Bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali tidak menolak kemungkinan bertanding semula dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 14 November ini sekiranya diputuskan oleh pimpinan parti, meskipun berhasrat memberi laluan kepada muka baharu.

"Sesiapa sahaja yang dicalonkan dan diarahkan oleh parti, kita wajib bantu. Walaupun saya sudah maklumkan hasrat (berundur), tetapi kalau dipaksa dan terpaksa, kita tetap kena bantu dan bertanding," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sulaiman adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu dalam Parlimen Masjid Tanah selama tiga penggal bermula 2013. Beliau sebelum ini menyatakan berhasrat tidak mempertahankan kerusi itu kerana mahu memberi peluang kepada individu lain.