KUALA LUMPUR: Jerebu berpanjangan berpotensi meningkatkan risiko terhadap pertumbuhan ekonomi Malaysia sekiranya gangguan operasi perniagaan, kehilangan produktiviti pekerja dan pembatalan aktiviti ekonomi berterusan, demikian menurut Oxford Economics.

Firma penyelidikan ekonomi itu berkata, kesan makroekonomi akibat jerebu lazimnya terhad jika gangguan berlaku dalam tempoh singkat, namun risiko terhadap pertumbuhan boleh meningkat sekiranya aktiviti perniagaan terganggu untuk tempoh lebih lama.

Berdasarkan laporan terbaharunya, gangguan perniagaan berpanjangan yang tidak berlaku dalam episod jerebu terdahulu di rantau ini merupakan faktor yang lebih berkemungkinan mendorong semakan turun ketara terhadap unjuran pertumbuhan ekonomi.