KUALA LUMPUR: Sektor telekomunikasi Malaysia dijangka mencatatkan pendapatan yang lebih kukuh pada separuh kedua 2026 dan mengekalkan atau meningkatkan pembayaran dividen, menurut RHB Investment Bank Bhd (RHB IB).

RHB IB memaklumkan pendapatan yang lebih kukuh pada separuh kedua 2026 didorong oleh pendapatan mudah alih yang tinggi secara bermusim daripada pengewangan dan pelarasan harga terpilih, penjimatan perbelanjaan operasi yang berterusan dan peningkatan pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) Telekom Malaysia Bhd (TM) daripada sumbangan borong yang tinggi.

"Dari aspek kawal selia, kami menjangka rundingan awam berhubung Standard Mandatori mengenai Harga Capaian (MSAP) akan bermula pada suku keempat 2026, dengan pelaksanaannya dijangka pada akhir suku pertama 2027," menurutnya dalam nota penyelidikan hari ini.