LONDON: Lima individu ditahan di Norway, manakala beberapa serbuan dilakukan di Romania dan Jerman sebagai sebahagian daripada siasatan rentas sempadan berhubung kes penipuan.
Ia disyaki membabitkan lebih satu juta euro (RM4.5 juta) berkaitan perkhidmatan yang disediakan kepada kapal tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), menurut agensi kerjasama kehakiman Kesatuan Eropah (EU) pada Rabu.
Siasatan itu tertumpu kepada dakwaan penipuan invois oleh sebuah syarikat bersama subkontraktor yang menyediakan perkhidmatan sokongan kepada kapal tentera NATO yang singgah di pelabuhan di barat laut Eropah, lapor Anadolu Ajansi.
Menurut Agensi Kesatuan Eropah bagi Kerjasama Keadilan Jenayah (Eurojust), pihaknya mula membantu siasatan berkenaan pada April 2025 selepas NSPA mengesan kemungkinan berlaku penyelewengan dalam invois yang dikemukakan.






