PUTRAJAYA: Pemimpin politik menyatakan sokongan serta menjunjung titah Majlis Raja-Raja supaya kemelut membabitkan takhta Negeri Sembilan tidak dipolitikkan, sebaliknya diselesaikan menerusi saluran undang-undang yang sah.
Mereka turut menggesa semua pihak menghormati institusi diraja serta memberi ruang kepada pihak berautoriti untuk menangani pertikaian terbabit berlandaskan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, berkata beliau menyokong sepenuhnya kenyataan Majlis Raja-Raja yang mengingatkan semua pihak supaya tidak mencampuri urusan Negeri Sembilan atau mempolitikkan isu berkenaan.
Beliau berkata, institusi diraja perlu dihormati, manakala segala urusan berkaitan dengannya perlu ditangani berdasarkan kaedah, undang-undang dan sistem yang ditetapkan.









