KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memperkenalkan strategi tiga ‘P’ merangkumi platform, permit dan promosi bagi membantu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) tempatan menembusi pasaran antarabangsa menerusi platform e-dagang global.

Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, strategi itu bertujuan memastikan produk dan perkhidmatan PMKS bukan sahaja mampu bersaing di pasaran domestik, malah berpeluang menembusi pasaran luar negara menerusi saluran perdagangan digital.

Beliau berkata, menerusi strategi berkenaan, KUSKOP akan membantu PMKS menyenaraikan produk mereka di platform e-dagang antarabangsa, memudahkan urusan berkaitan permit dan perlesenan serta memperkukuh usaha promosi bagi meningkatkan kebolehlihatan produk tempatan.