KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memberi tumpuan kepada strategi tiga P, iaitu platform, permit dan promosi bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menembusi pasaran antarabangsa.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim, berkata pendekatan itu bertujuan mewujudkan ekosistem e-dagang rentas sempadan yang membolehkan produk tempatan yang bersedia untuk dieksport menembusi pasaran global.

"Pada hari ini, kita akan memeterai kerjasama dengan rakan dari Uzbekistan, Lazada Malaysia dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) bagi memperkukuh institusi, ekosistem serta kerjasama strategik untuk membantu PMKS terus maju, mengharungi cabaran dan mencapai kejayaan," katanya.