KUALA LUMPUR: Seorang penuntut universiti swasta warga China mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas dua pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap bekas teman wanita dan adik lelaki wanita itu pada bulan lalu.

Tertuduh, Chen Jun, 20, didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap mangsa warga tempatan berusia 21 tahun dan adik lelakinya berumur 18 tahun dengan menikam mereka menggunakan pisau yang boleh menyebabkan kematian.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Taman Sri Bintang, Kepong di sini, kira-kira jam 5 pagi 29 September lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.