KUCHING: Kerajaan Indonesia masih belum memberi maklum balas terhadap permohonan Malaysia untuk menyediakan aset bagi membantu memadamkan kebakaran hutan yang menyumbang kepada masalah jerebu berpanjangan.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, surat permohonan berkaitan penyediaan aset itu sudah dikemukakan dan perkembangan lanjut mengenai usaha berkenaan dijangka diketahui selepas Mesyuarat Kabinet, esok.

"Sebarang perkembangan baharu akan disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, atau Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Seri Arthur Joseph Kurup," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi pelaksanaan projek Kuching Smart City and Digital Connectivity, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.