KUALA LUMPUR: PROTON New Energy Technology Sdn Bhd (PRO-NET) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) memperkukuh kerjasama dalam pembangunan bakat tempatan bagi menyokong pertumbuhan ekosistem kenderaan elektrik (EV) negara.
Ketua Pegawai Jenama PRO-NET, Salawati Mohd Yusoff, berkata tanggungjawab syarikat bukan sekadar memperkenalkan kenderaan elektrik kepada rakyat Malaysia, tetapi turut memastikan ekosistem dan tenaga kerja yang menyokong pemilikan EV berkembang seiring dengan pertumbuhan pasaran.
"Penyelenggaraan EV memerlukan penguasaan kemahiran berbeza daripada kenderaan enjin pembakaran dalaman, khususnya membabitkan sistem voltan tinggi, teknologi bateri, sistem elektrik dan elektronik, diagnostik serta teknologi kenderaan pintar," katanya kepada BH.









