KANGAR: Keluasan fiqah perlu difahami secara menyeluruh bagi memastikan setiap persoalan masyarakat ditangani dengan bijaksana dan adil serta tepat berlandaskan al-Quran dan sunnah tanpa mengabaikan prinsip serta tuntutan agama.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah kefahaman secara menyeluruh itu adalah dengan mengambil kira dalil, asas penetapan hukum, perbezaan pandangan ulama dan realiti semasa.

Baginda bertitah pemahaman fiqah menyeluruh penting untuk masyarakat mendapat panduan agama yang jelas, tepat dan bersesuaian dengan keperluan semasa, sekali gus memperkukuh keyakinan umat Islam dalam mengamalkan ajaran agama berasaskan ilmu dan hikmah.

“Perkembangan zaman dan teknologi akan terus membuka ruang kepada pelbagai persoalan baharu yang memerlukan penelitian dari sudut fiqah. Oleh itu, kajian ilmiah, perbincangan dan ijtihad perlu terus diperkasakan bagi memastikan setiap persoalan ditangani berasaskan ilmu, hujah yang kukuh dan kefahaman terhadap realiti semasa.