Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merasmikan Persidangan Majlis Ilmuwan Nusantara Kali Ke-4 dan Wacana Ilmuwan Nusantara 2026 di Kangar. (Gambar Istana Arau)PETALING JAYA: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, bertitah pemahaman fiqah perlu mengambil kira perbezaan pandangan ulama dan realiti semasa supaya persoalan masyarakat dapat ditangani secara adil dan bijaksana.

Baginda bertitah, pemahaman itu juga perlu berasaskan dalil dan kaedah penetapan hukum yang berpandukan al-Quran serta sunnah, tanpa mengetepikan prinsip dan tuntutan syarak.

Menurut baginda, pendekatan menyeluruh itu penting bagi memastikan masyarakat mendapat panduan agama yang jelas dan sesuai dengan keperluan semasa, sekali gus mengukuhkan keyakinan umat Islam untuk mengamalkan ajaran agama berasaskan ilmu dan hikmah.