SEPANG: Polis Diraja Malaysia (PDRM) meningkatkan kekerapan rondaan Unit Anjing Pengesan (K9) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai langkah memperkukuh aspek keselamatan susulan beberapa insiden yang berlaku sebelum ini.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner M Ravi, berkata penugasan unit berkenaan yang sebelum ini dilaksanakan secara berkala kini dipertingkatkan dengan rondaan lebih kerap, khususnya pada waktu puncak.

Katanya, penugasan Unit K9 dilaksanakan secara bersasar dengan mengambil kira waktu kesibukan di lapangan terbang serta keperluan memberi rehat kepada anjing pengesan berkenaan.

"Penugasan ini bukan 24 jam secara berterusan kerana anjing juga perlu berehat. Kita perlu melihat waktu puncak dan melaksanakan penugasan pada waktu yang bersesuaian," katanya ketika dihubungi.