Kuala Lumpur: Perikatan Nasional (PN) akan mencabar keputusan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) membatalkan pendaftaran gabungan itu, termasuk mengemukakan rayuan kepada Menteri Dalam Negeri.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, tindakan mencabar itu akan dimulakan dengan memasukkan permohonan dalam sesi pendengaran permohonan penangguhan PN di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Khamis ini.
Selain itu, katanya, Seksyen 18 Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) memberikan hak rayuan kepada mana-mana pertubuhan tempatan, pemegang jawatan, anggota atau pihak terkilan dengan keputusan RoS kepada Menteri Dalam Negeri.
Beliau berkata, rayuan itu perlu dibuat dalam tempoh 30 hari dari tarikh keputusan RoS, selain Menteri Dalam Negeri melalui Seksyen 8 Akta 832 itu boleh mengesahkan, menolak atau mengubah keputusan Pendaftar dengan ia adalah muktamad.









