PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) akan mencabar kesahihan perintah pembatalannya yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) di mahkamah.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya juga akan memohon supaya pelaksanaan serta segala kesan keputusan itu ditangguhkan sementara menunggu penentuan mahkamah pada Khamis ini.

Beliau berkata, PN menggesa Jabatan Peguam Negara menjelaskan tindakan dikenakan dan pendirian mereka di mahkamah semasa pendengaran permohonan penangguhan PN pada Khamis ini.

“PN turut akan mengambil tindakan atas semua pihak yang menghina dan belakangkan proses mahkamah. Parti-parti anggota PN kekal bersatu untuk mempertahankan hak dan mandat rakyat melalui saluran undang-undang serta proses demokrasi,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.