KUALA LUMPUR: Pelantikan jurulatih import bertaraf antarabangsa bukan 'tongkat sakti' buat skuad Harimau Malaya sekiranya kualiti serta kemampuan barisan pemain negara tidak bergerak seiring dengan kepakaran dibawa pengendali baharu itu.
Pemerhati bola sepak tempatan, Prof. Madya Dr Zulakbal Abd Karim menegaskan bahawa pembentukan skuad kebangsaan yang berdaya saing memerlukan keseimbangan antara kualiti barisan pemain serta kebolehan seseorang jurulatih.
Bagi menjelaskan situasi berkenaan, beliau memilih analogi sukan permotoran Formula Satu (F1) bagi menggambarkan keperluan gabungan dua elemen penting terbabit.
"Kita melihat senario ini seolah-olah kita betul-betul mahu mencapai satu kejayaan yang belum pernah kita capai sebelum ini. Namun, untuk merealisasikan hasrat berkenaan, gandingan antara pemandu dan jentera itu mesti berada pada kelas yang setara.








