SHAH ALAM – Pemantauan terhadap ajaran Qadiani di Selangor diteruskan dengan penglibatan masjid dan surau bagi menyalurkan maklumat kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sekiranya mengesan kegiatan berkaitan.Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, usaha memberi penerangan kepada masyarakat mengenai perbezaan ajaran itu dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah sudah dilaksanakan sejak sekian lama.Menurutnya, masjid dan surau berhampiran memainkan peranan dengan menghubungi JAIS sekiranya mengesan perkara yang memerlukan perhatian pihak berkuasa agama."Kalau masjid dapat mengesan, mereka akan terus menghubungi JAIS dan perkara itu memang dilakukan sejak sekian lama."Saya sudah hampir 20 tahun di kawasan itu bersama rakyat dan masalah sama pernah berlaku sebelum ini."Kita juga pernah mengadakan program besar-besaran bagi memberi penerangan mengenai perbezaan Ahmadiyah, Qadiani dengan amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah," katanya pada Majlis Pelancaran Program Kerjasama Air Selangor, Universiti Selangor (UNISEL) dan Selangor Technical Skills Development Centre (STDC) di sini pada Selasa.Amirudin memberitahu, usaha memberi kesedaran dan peringatan kepada masyarakat dilakukan secara berterusan bagi meningkatkan kefahaman mengenai pegangan agama.Dalam perkembangan berkaitan, Amirudin berkata, pembatalan pendaftaran Parti Perikatan Nasional (PN) dijangka tidak akan menjejaskan perancangan kerjasama antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor dengan kerajaan negeri.Bagaimanapun, katanya, beliau akan menyemak semula kedudukan itu namun enggan menyentuh hal dalaman parti tersebut."Kita tidak pasti (kedudukan PN) saya kena semak dahulu, mungkin satu atau dua hari ini kita akan tentukan kedudukannya (kerjasama) dengan Bersatu."(Soal pembatalan pendaftaran PN) itu masalah dalaman yang harus mereka sendiri selesaikan sebab, perancangan kita adalah dengan Bersatu bukan PN," jelas beliau.Amirudin yang juga Naib Presiden PKR turut memaklumkan perjanjian kerjasama antara Bersatu dengan kerajaan negeri dijangka dimeterai pada minggu hadapan."Nanti saya kena tunggu pengesahan dahulu, mungkin selepas 25, 26 hari bulan," tambah beliau.