KUALA LUMPUR - Perikatan Nasional (PN) belum membuat keputusan berhubung penggunaan logo bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 14 November ini.Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, gabungan itu ketika ini memberi tumpuan kepada pemilihan calon terlebih dahulu."Dalam pilihan raya ini, tidak ada parti pun yang tidak boleh bertanding. Parti-parti dalam PN boleh bincang sesama kita nak guna logo apa. Ini bukan satu perkara yang luar biasa cumanya, kita belum lagi buat keputusan."Kita ada banyak masa lagi, kita putuskan kerusi kita nak tanding, calon kemudian kita putuskan logo apa yang kita akan gunakan," katanya dalam sidang akhbar di Parlimen pada Selasa.Sebelum ini Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) membatalkan pendaftaran Perikatan Nasional (PN) selepas penjelasan dan representasi yang dikemukakan gabungan itu didapati tidak dapat menyangkal asas pembatalan yang dinyatakan dalam notis terdahulu.Menerusi kenyataan, RoS memaklumkan, keputusan itu dibuat selepas Pendaftar Pertubuhan meneliti keseluruhan dokumen dan penjelasan yang dikemukakan PN susulan notis bertarikh 22 September 2026.Menurut jabatan itu, pihaknya menerima maklum balas daripada PN pada 12 Oktober lalu sebelum mendapati alasan yang diberikan tidak dapat menyangkal asas pembatalan pendaftaran gabungan berkenaan.Katanya, alasan yang diberikan tidak dapat menyangkal asas-asas pembatalan pendaftaran sebagaimana yang dinyatakan dalam notis tersebut serta tidak memberikan justifikasi yang kukuh untuk mengekalkan pendaftaran pertubuhan berkenaan.