KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang berbincang dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) untuk mencari langkah berkesan menangani isu lambakan sayur import yang menjejaskan pengusaha tempatan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata perbincangan itu turut mengambil kira pelaksanaan syarat mengemukakan Sijil Analisis (CoA) yang diwajibkan mulai 1 Jun lalu, walaupun terdapat pandangan bahawa langkah berkenaan belum mencukupi.
"Kita sudah membawa perkara ini kepada perbincangan pada peringkat pihak sekuriti makanan, dan kita sedang menganalisis apa perkara baharu perlu kita perkenalkan, supaya penanam sayur di Malaysia dan yang terbabit dalam buah-buahan terpelihara kedudukan mereka," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.








