KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan kehadirannya pada Konsert Tradisional Gema Bumantara di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lalu bukan sekadar untuk menyaksikan persembahan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin tetapi turut menghargai usaha mengangkat seni dan budaya Melayu.Beliau berkata, konsert berkenaan menampilkan pelbagai persembahan warisan tempatan termasuk wayang kulit, tarian tradisional serta kebudayaan Sabah dan Sarawak yang membanggakan."Siti itu memang biduanita yang terkenal dan persembahan konsert malam itu memperkasa budaya Melayu."Wayang kulit, tarian tradisional, pertunjukan budaya Sabah dan Sarawak semuanya memberi kebanggaan kepada kekuatan warisan lagu klasik dan budaya Melayu," katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.Beliau berkata demikian ketika menjawab celahan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) yang berseloroh meminta beliau mengajaknya bersama sekiranya menghadiri konsert pada masa akan datang.Kehadiran Anwar pada konsert itu turut menjadi perhatian selepas gambar beliau memakai baju hujan ketika menyaksikan persembahan dalam keadaan hujan tular di media sosial.Anwar berkata, kehadirannya pada konsert itu juga bagi memenuhi permintaan Siti dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau lebih dikenali sebagai Datuk K yang bersungguh-sungguh memohon beliau hadir menyaksikan persembahan berkenaan."Siti dan Datuk K mohon sangat-sangat saya hadir. Memang betullah, saya bukanlah minat (sangat). Tapi (saya) pergi juga walaupun lambat sikit, tapi 'ditegur' oleh beberapa rakan," ujarnya.Menurutnya, pihak yang membuat teguran berkenaan termasuklah daripada golongan yang 'warak-warak'."Terima kasihlah kerana yang tegur tu yang warak-warak, yang tak pernah dengar lagu. Saya ini ada kelemahan saya kerana minat juga lagu bukan saja Melayu, Inggeris, Hindustan pun saya minat," kata beliau.