KUALA LUMPUR : Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek merakamkan ucapan takziah kepada keluarga murid Tahun Satu yang meninggal dunia selepas dipercayai mengalami kesukaran bernafas ketika berada dalam kelas di sebuah sekolah di Dengkil, Selangor semalam.
Beliau berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) turut mengambil langkah sewajarnya termasuk menyediakan sokongan psikososial kepada keluarga kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun itu dan warga sekolah yang terkesan akibat kejadian itu.
"Buat masa ini, tumpuan KPM kepada keluarga dan warga sekolah bagi memastikan mereka menerima sokongan psikososial yang diperlukan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Program Penataran Literasi Akta Antibuli 2026 di Institut Pendidikan Guru Malaysia, Lembah Pantai, di sini, hari ini.








