KLANG: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menegaskan bahawa baginda tidak berkenan mana-mana ahli kerabat diraja Selangor menyalahgunakan kedudukan untuk memperdaya pihak lain demi kepentingan peribadi.

Baginda bertitah, kedudukan sebagai kerabat diraja bukan alasan untuk mana-mana individu bertindak sesuka hati selain menzahirkan peringatan agar setiap ahli kerabat menghormati undang-undang dan mematuhi segala peraturan yang berkuat kuasa.

“Kita juga mempunyai amanah untuk menjaga nama baik kerabat dan institusi diraja Selangor. Setiap kerabat bertanggungjawab terhadap tingkah laku dan tindakannya kerana perbuatan seseorang boleh memberi kesan kepada pandangan masyarakat terhadap seluruh keluarga diraja Selangor.