SEPANG: Seorang bapa tidak menyangka hari persekolahan biasa bertukar tragedi apabila anak perempuan kesayangannya meninggal dunia di sekolah dipercayai akibat saluran pernafasan tersumbat semalam.

Mior Shahrizal Mior Zakaria, 48, berkata dia bergegas ke Sekolah Kebangsaan (SK) Dengkil sebaik dimaklumkan bahawa anak bongsunya, Derma Damiya Nur Mikayla, 7, mengalami masalah pernafasan.

Menurutnya, setiba di sekolah, murid Tahun Satu itu ditemui terbaring di koridor tingkat dua dalam keadaan tidak sedarkan diri.

"Saya cuba memberikan bantuan, termasuk melakukan bantuan pernafasan namun dia tidak memberikan sebarang tindak balas. Lebih kurang 15 minit kemudian ambulans tiba, tetapi keadaan anak saya ketika itu sudah langsung tidak menunjukkan tindak balas," katanya.