KUALA LUMPUR: Amazfit memperkenalkan T-Rex Dual Solar, jam tangan pintar ekspedisi premium yang memberi tumpuan kepada ketahanan bateri dan navigasi bagi pengguna yang melakukan perjalanan jauh dari sumber elektrik.

Amazfit dalam satu kenyataan berkata, model berkenaan ialah jam tangan pintar AMOLED pertama di dunia yang dilengkapi sistem pengecasan solar dwi-sisi, membolehkannya mengumpul tenaga menerusi paparan hadapan dan plat belakang seramik kaca.

Menurut syarikat itu, bateri berkapasiti 660 mAh mampu bertahan sehingga 25 hari bagi penggunaan biasa. Pendedahan harian selama tiga jam pada cahaya 50,000 lux dalam keadaan ujian Amazfit pula boleh memanjangkan hayat bateri sehingga 34 hari.

Panel solar hadapan mengumpul tenaga ketika jam tangan dipakai di bawah cahaya matahari mencukupi, manakala panel belakang mempunyai kawasan pengumpulan dua kali ganda lebih besar. Mod Keutamaan Solar turut meletakkan peranti dalam keadaan kuasa ultra rendah bagi memaksimumkan pemulihan tenaga.