PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil menjelaskan kehadiran beliau dalam konsert Datuk Seri Siti Nurhaliza selepas mendapat kritikan pelbagai pihak khususnya pembangkang.
Menurut beliau, kehadirannya dalam konsert yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil atas jemputan khas daripada Siti Nurhaliza dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.
“Siti Nurhaliza dan suaminya mohon sangat-sangat saya hadir. Betullah, saya bukanlah minat, tapi pergi juga walaupun lambat sikit, (dan) ditegur oleh beberapa rakan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Mohd. Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) yang berseloroh supaya Ahli Parlimen Tambun itu mengajaknya bersama jika ke konsert pada masa akan datang.









