KUALA LUMPUR: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bakal memperoleh dua kapal ukur hidrografi baharu menerusi peruntukan Belanjawan 2027 bagi mempercepat kerja pemetaan dasar laut negara.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Dr. Zulhelmy Ithnain berkata, perolehan kedua-dua kapal itu merupakan antara keutamaan yang diluluskan di bawah Rancangan Pelaksanaan Kedua (RP2) Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13).

Katanya, proses perolehan kedua-dua kapal itu masih belum bermula, namun dijangka mempercepat kerja pengukuran di kawasan keutamaan serta mengurangkan jurang maklumat kedalaman dan topografi dasar laut.

“Perolehan ini dijangka mempercepat pengukuran di kawasan keutamaan, mengurangkan jurang maklumat kedalaman dan topografi dasar laut serta memperkukuh penyediaan carta nautika,” katanya dalam Majlis Perasmian SEABED 2030 Indo-Pacific Ocean Mapping Meeting & Data Sprint 2026 di Hotel Concorde, di sini hari ini.