Kuala Lumpur: BERSATU mendakwa tindakan kepimpinan Perikatan Nasional (PN) yang dipengerusikan PAS menafikan hak parti itu dalam mesyuarat Majlis Tertinggi gabungan terbabit pada 16 Julai lalu, antara pelanggaran perlembagaan yang membawa kepada pembatalan pendaftaran PN oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).

Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, keputusan JPPM pada 20 Oktober itu membuktikan alasan dan keterangan diberikan PAS ketika siasatan dijalankan tidak berasas serta tidak memenuhi kehendak undang-undang dan Perlembagaan PN.

Beliau berkata, tindakan menafikan hak BERSATU untuk menghadiri, memberikan pendapat dan mengundi dalam mesyuarat berkenaan adalah pelanggaran serius terhadap Fasal 7.1 Perlembagaan PN.