Kuala Lumpur: Majlis Amanah Rakyat (MARA) memantau rapat keadaan 242 pelajar tajaan agensi itu yang sedang mengikuti pengajian di Perancis susulan rusuhan di negara berkenaan.
Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) MARA Zahari Aziz berkata semua pelajar berkenaan berada dalam keadaan selamat berdasarkan laporan terkini wakil pelajar di universiti masing-masing, dan tiada yang dilaporkan terlibat dalam sebarang insiden rusuhan.
"Aktiviti pengajian juga berjalan seperti biasa. Di kawasan yang mengalami gangguan pengangkutan awam, pihak universiti telah mengambil langkah sewajarnya dengan melaksanakan sesi pengajian secara dalam talian," katanya dalam kenyataan hari ini.
Zahari berkata MARA, menerusi Pejabat MARA Luar Negara di Frankfurt, Jerman, sentiasa berhubung dengan pelajar berkenaan serta mengingatkan mereka supaya sentiasa berwaspada dan menjauhi kawasan demonstrasi.








