Kuala Lumpur: Bekas pengurus kanan Lembaga Tabung Haji (TH) merayu di Mahkamah Tinggi di sini, terhadap sabitan dan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM852,385 kerana menerima suapan berkaitan pelantikan syarikat untuk ubah suai pejabat, 11 tahun lalu.

Zaharuddin Hamid, 53, sebelum ini didapati bersalah atas tiga pertuduhan oleh Mahkamah Sesyen di akhir kes pembelaan.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa secara rasuah menerima suapan berjumlah RM170,477 daripada Yusaidi Mohd melalui syarikat Amaneez Creative Solution menggunakan cek yang didepositkan ke dalam akaun Maybank milik kakaknya, Zanita Hamid.

Wang itu sebagai upah supaya beliau yang ketika itu memegang jawatan Pengurus Kanan Teknikal (Seksyen Pembangunan Hartanah), mencadangkan syarikat Consoline Sdn Bhd dan Syarikat MNB Engineering Sdn Bhd bagi kerja ubah suai pejabat TH Ipoh (IFiC), Perak dan tiga di Johor iaitu TH Muar, TH Batu Pahat serta TH Kluang.