SHAH ALAM: Kerajaan negeri menyemak dan memantau kemasukan babi hidup yang diimport dari Sarawak ke negeri ini melalui Pelabuhan Klang sejak Julai lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau tidak menolak kesemua babi hidup yang dibawa masuk itu juga akan dihantar ke negeri-negeri lain.
“Tengah siasat, sebab ia bukan semua untuk Selangor, ada untuk negeri-negeri lain. Itu setakat laporan yang diberikan kepada saya. Itu untuk negeri lain yang pintu masuknya (import) di Selangor.
“Jadi, kena siasat dan semak semula hal tersebut kemudian baru kita ambil tindakan (susulan),” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.









