KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) mendakwa pembatalan pendaftarannya oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), hari ini, sebagai penyalahgunaan kuasa kerajaan yang cuba mendahului proses mahkamah.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata PN akan mencabar kesahihan perintah pembatalan berkenaan dan memohon pelaksanaannya ditangguhkan sementara menunggu keputusan mahkamah.

Beliau berkata, pembatalan pendaftaran itu dibuat sebelum permohonan PN untuk menangguhkan pelaksanaan notis ketidakpatuhan dan penggantungan semua aktiviti gabungan berkenaan oleh RoS, didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis ini.

"Mahkamah Tinggi pada 13 Oktober lalu memberikan kebenaran semakan kehakiman dan menetapkan pendengaran permohonan penangguhan itu pada 22 Oktober selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan keperluan pendengaran secara inter partes," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.