Kuala Lumpur: Perikatan Nasional (PN) mendakwa pembatalan pendaftarannya oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS), hari ini, sebagai penyalahgunaan kuasa kerajaan yang cuba mendahului proses mahkamah.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, gabungan itu akan mencabar kesahihan perintah pembatalan berkenaan serta memohon pelaksanaannya ditangguhkan sementara menunggu keputusan mahkamah.
Beliau berkata, tindakan itu diambil selepas permohonan PN untuk menangguhkan tindakan RoS dijadualkan didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 22 Oktober ini.
Takiyuddin berkata, pembatalan itu dibuat sebelum mahkamah mendengar permohonan gabungan berkenaan untuk menangguhkan pelaksanaan notis ketidakpatuhan dan penggantungan semua aktiviti PN.










