KUALA TERENGGANU: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mempersoalkan masa tindakan pembatalan pendaftaran gabungan itu oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS), yang disifatkannya sebagai luar biasa.
Beliau berkata, ini kerana tindakan yang berlaku itu sehari sebelum kes dibawa ke mahkamah, selain dibuat menjelang pengisytiharan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, menimbulkan persoalan mengenai motif di sebalik keputusan berkenaan.
"Apa yang berlaku sehari sebelum kes dibawa ke mahkamah adalah satu tindakan luar biasa...memang luar biasa, yang boleh jadi luar tabii.
"Semua tindakan yang selari dengan garis masa sebelum pengisytiharan calon PRN Melaka, dalam keadaan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baru dua hari lalu menghantar surat kepada PN untuk memberi respon penggunaan logo 'PN' adalah jelas bermotifkan ketakutan kepada gabungan ini," katanya dalam kenyataan dimuat naik di laman Facebooknya hari ini.








