JAKARTA: Jerebu akibat kebakaran hutan dan tanah di seluruh Indonesia menjejaskan 2,604 penerbangan domestik sejak Ogos lalu, selain menyebabkan 14 penerbangan antarabangsa dibatalkan.
Ketua Pengarah Perhubungan Udara Indonesia, Lukman F. Laisa, berkata gangguan yang direkodkan antara 11 Ogos hingga 19 Oktober itu membabitkan 1,420 penerbangan dibatalkan atau ditangguhkan, 1,129 mengalami kelewatan, 23 dialihkan ke lapangan terbang lain, enam berpatah balik ke lapangan terbang asal dan 26 dijadualkan berlepas lebih awal.
Sementara itu, beliau berkata 14 pembatalan penerbangan antarabangsa membabitkan 12 penerbangan bagi laluan pergi balik Singapura-Pontianak antara 12 hingga 23 September dan dua penerbangan bagi laluan pergi balik Singapura-Palembang pada 15 Oktober.










