KUALA LUMPUR: Cadangan Malaysia untuk memberi pengecualian cukai eksport minyak sawit mentah (MSM) sebanyak 10 peratus pada November dilihat sebagai langkah tepat bagi mengatasi lebihan bekalan dan meningkatkan daya saing eksport, menurut Public Investment Bank Bhd (PIVB).

Menurut PIVB dalam satu nota hari ini, cadangan pengecualian itu dilaksanakan ketika Malaysia berusaha untuk meningkatkan penghantaran di tengah-tengah paras inventori minyak sawit yang tinggi.

Selain itu, difahamkan perbincangan antara Kementerian Perladangan dan Komoditi serta pihak industri mengenai cadangan tersebut dijadualkan berlangsung hari ini.

Mengulas lanjut, PIVB menyatakan bahawa langkah itu dijangka mendapat sambutan baik daripada pihak industri dan mungkin berkuat kuasa tidak lama lagi.