SEBERANG PERAI – Nelayan diingatkan supaya lebih berwaspada ketika menjalankan aktiviti di laut susulan keadaan jerebu yang berpotensi menjejaskan jarak penglihatan, sekali gus mengundang risiko keselamatan ketika pelayaran.

Pengarah Kanan Bahagian Sumber Perikanan Tangkapan Jabatan Perikanan, Ruzaidi Mamat berkata, setakat ini, pihaknya belum menerima laporan mengenai gangguan jerebu terhadap aktiviti penangkapan ikan.

“Buat masa ini aktiviti seperti biasa. Belum lagi saya mendengar bahawa kesan daripada jerebu ini mempengaruhi aktiviti penangkapan ikan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan vesel pengangkut (carrier vessel) Kha Yang 666 di Dermaga Dalam di sini, hari ini.

Menurutnya, nelayan perlu mengambil langkah berjaga-jaga sekiranya keadaan jerebu menyebabkan jarak penglihatan di laut menjadi terhad.