KUALA LUMPUR: Kumpulan sokongan waris mangsa tragedi Nepal, Solidariti Malaysia: Keluarga Dalam Harapan (MASFIH) mengemukakan sembilan cadangan utama untuk tindakan kerajaan bagi menangani cabaran kemanusiaan, perundangan, kewangan dan diplomatik dihadapi keluarga 54 rakyat Malaysia yang hilang susulan bencana banjir di Nepal-Tibet, 26 Ogos lallu.
Antara keutamaan itu ialah mewujudkan mekanisme tindak balas nasional yang diselaraskan, mendapatkan penjelasan segera dari segi undang-undang daripada Jabatan Peguam Negara, membangunkan kerangka perundangan bagi kes kehilangan beramai-ramai di luar negara yang bersifat luar biasa serta mendapatkan pengesahan rasmi mengenai status individu hilang.
Jurucakap MASFIH, Dr R Manivannan berkata cadangan itu dikemukakan pada pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, berserta dokumen setebal 29 halaman yang menggariskan langkah-langkah intervensi yang disarankan, keutamaan pelaksanaan serta tindakan kerajaan secara bersepadu bagi menangani kebimbangan keluarga yang terlibat.








