KUALA LUMPUR: OhBulan! Paling Viral Online 2.0 kembali untuk edisi kedua bermula November ini dengan mempertandingkan sembilan kategori termasuk empat kategori baharu bagi merakyatkan lagi pencalonan penggiat seni dan pempengaruh tempatan.

Edisi kali ini menyaksikan pengenalan empat kategori baharu iaitu Penyanyi Gen Z Paling Viral, Peniaga Paling Viral, Nepo Baby Paling Viral dan Pelakon Paling Viral.

Penambahan kategori ini bertujuan memperluas skop pengiktirafan kepada pelbagai lapisan bakat, merangkumi penyanyi muda, usahawan, individu berlatarbelakangkan keluarga terkenal serta pelakon yang mencuri tumpuan dalam landskap hiburan dan digital.

Khusus untuk kategori Pelakon Paling Viral, pelakon lelaki dan wanita digabungkan di bawah satu kategori bagi merebut satu gelaran utama.