SEPANG: Luluh hati seorang bapa mengenangkan anak perempuan kesayangannya yang dihantar ke sekolah seperti biasa pagi semalam, pergi buat selama-lamanya selepas mengalami sesak nafas akibat saluran pernafasan tersumbat.
Bapa mangsa, Meor Shahriza Meor Zakaria, 48, berkata beliau bergegas ke sekolah sejurus dimaklumkan bahawa anaknya, Derma Damiya Nur Mikayla, mengalami masalah pernafasan ketika berada di sekolah.
Beliau berkata, sebaik tiba di sekolah, anaknya ditemui terbaring di koridor tingkat dua dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Katanya, beliau cuba memberikan bantuan termasuk melakukan resusitasi kardiopulmonari (CPR), namun anaknya tidak memberikan sebarang tindak balas.










