KUALA LUMPUR: Angkatan Anak Muda (ARMADA) BERSATU menyalahkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, susulan pembatalan pendaftaran gabungan itu oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS), hari ini.

Ketua Penerangannya, Harris Idaham Rashid, mendakwa kegagalan menguruskan tatacara mesyuarat dan ketidakpatuhan terhadap perlembagaan PN menyebabkan kemelut berkenaan.

Beliau berkata, ARMADA mendesak pelan penstrukturan semula hala tuju politik segera dilaksanakan bagi memelihara maruah, hak dan suara ahli BERSATU di peringkat akar umbi.

Katanya, kemelut itu sepatutnya dapat dielakkan sekiranya pengurusan tertinggi PN mematuhi asas pentadbiran pertubuhan.